Sarawak mohon tambahan kerusi Parlimen

abang-johari.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KUCHING: Sarawak sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan beberapa kawasan Parlimen baharu selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata satu jawatankuasa khas dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan ditubuhkan bagi meneliti perkara itu.

Katanya, selepas penelitian dibuat, kerajaan Sarawak akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

“Kami memang sedang mengkaji untuk memohon penambahan kawasan Parlimen di Sarawak, bukan sahaja di kawasan Betong tetapi seluruh Sarawak.

“Kita akan mengemukakan permohonan dan terpulang kepada SPR untuk mempertimbangkannya,” katanya selepas perasmian Konvensyen Khas PBB Zon Betong 2023 di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, di Betong, pada Ahad.

Usul penambahan kawasan Parlimen itu dikemukakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk konvensyen khas berkenaan.

Julaihi dalam usul berkenaan berkata, penambahan kawasan Parlimen di Sarawak itu selaras dengan hasrat membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kawasan Parlimen di Malaysia.

Menurut Julaihi, untuk itu Sarawak harus dipertimbangkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Parlimen baharu dengan bahagian Betong sahaja perlu ada tiga kawasan.

Ketika ini, Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan pembentukan kawasan baharu itu perlu dalam memastikan pengagihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak supaya Semenanjung tidak dapat meminda Perlembagaan yang mungkin melenyapkan atau menghilangkan hak dua wilayah berkenaan seperti termaktub dalam MA63. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top