Sarawak Minta Penuhi MA63 Pada Anwar, Bukan TPM

abang-johari.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah meminta Perdana Menteri (PM) baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memenuhi tuntutan untuk mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya tidak meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), sebaliknya mahu dikembalikan hak Sarawak yang sudah terhakis dalam MA63 dan IGC.

“Sekiranya ditawarkan jawatan TPM kita terimalah. Ambillah… bukan kita meminta. Tapi mesti dengan kuasa.

“Saya sudah mengesyorkan apa yang dikehendaki adalah hak dan perjuangan Sarawak dalam MA63 dan IGC. Itu adalah hak kita.

“Jadi saya meminta PM baru supaya memenuhi apa yang telah tertulis iaitu mengenai MA63 dan IGC,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Kelab Penyokong Kerajaan GPS di Raia Hotel, di sini malam tadi.

Premier Sarawak itu berkata, sebab itu persoalan mengenai status TPM bukan menjadi keutamaan GPS setelah memenangi 23 daripada 31 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“GPS bertanding pada PRU-15, sama ada menang atau kalah kita tidak meminta apa-apa. Sebab itu persoalan mengenai status TPM bukan menjadi keutamaan kami,” katanya.

Menurut Abang Johari, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pernah berpesan bahawa hanya orang Sarawak sahaja yang dapat mentadbir Sarawak dan pesanan ini perlu diingati.

“Dengan ini kita dapat mentadbir Sarawak. Arwah Tok Nan berpesan hanya orang Sarawak sahaja yang dapat mentadbir Sarawak,” katanya.

Oleh Azreen Keria

Berita asal: Utusan Sarawak

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top