Sarawak Beralih Kepada Penggunaan Tenaga Solar Ke Rumah Panjang, Kampung

abang-johari.jpg

(Gambar fail).

Kongsi Bersama

KUCHING: Sarawak kini beralih kepada penggunaan tenaga solar untuk membekalkan tenaga elektrik ke rumah-rumah panjang dan kampung-kampung.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembekalan tenaga elektrik daripada solar ini dilaksanakan menerusi projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

“Kalau dulu mereka menggunakan diesel yang membebankan. Hari ini kita dapat bekalkan tenaga elektrik ke rumah panjang melalui projek SARES.

“Saya juga sekarang ini telah arahkan Sarawak Energy untuk kita punyai rumah pintar dimana reka bentuk rumah lengkap dengan solar.

“Lebihan tenaga (tenaga solar daripada rumah-rumah) akan  dibeli oleh Sarawak Energy,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari kedua majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran beliau di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Mengenai penerokaan sumber tenaga diperbaharui baharu daripada lumut, Abang Johari berkata Sarawak bertuah kerana spesies lumut bagi tujuan itu dan perubatan banyak terdapat di negeri ini.

Lumut katanya, banyak spesies dan ia berkehendakkan cuaca yang sesuai dimana jika terlalu panas ia tidak dapat membiak selain kesesuaian tanah dan air.

“Sebab itu bulan depan saya akan umumkan butiran terperinci sebab ia melibatkan satu proses yang saintifik,” katanya.

Abang Johari juga berkata Sarawak memainkan peranan penting dalam tenaga hijau malah Perdana Menteri mengiktiraf banyak perancangan Sarawak sebagai lebih ke hadapan dan maju berbanding negeri-negeri lain.

Beliau katanya telah dijemput untuk berkongsi pandangan mengenai tenaga hijau di Bali dan satu lagi forum antarabangsa di Kuala Lumpur dalam dua bulan akan datang.

Mengenai majlis rumah terbuka tersebut, beliau berkata telah menerima ramai pengunjung berbilang kaum dan agama dimana pada hari pertama lebih 10,000 pengunjung hadir.

Kehadiran ramai pengunjung ini katanya, adalah satu budaya di Sarawak yang harus dikekalkan dan berkongsi bersama-sama kemeriahan perayaan.

Bulan Jun nanti katanya, akan ada sambutan Gawai pula dan beliau pasti semua masyarakat akan merayakannya sekali gus menggambarkan Sarawak yang aman dan makmur dan usaha dapat diteruskan untuk membangunkan Sarawak ke arah satu tahap yang lebih baik.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi antara yang hadir pada majlis rumah terbuka Premier bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.  – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top