Sarawak Bangga Kejayaan Macgres, Nabiatul Di Festival Filem Sekolah Antarabangsa

anak-sarawak.jpg
Kongsi Bersama

KUCHING: Sarawak berbangga dengan kejayaan dua murid darjah lima Sekolah Kebangsaan Temong di Serian, dekat sini, yang memenangi ‘Filem Terbaik oleh Juri Popular’ dalam kategori sekolah rendah di ‘Festival de Cinema Escolar de Alvorada’ (FECEA) di Brazil, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata negeri itu benar-benar berbangga dengan pencapaian Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa menerusi filem animasi pendek bertajuk ‘Batuh Bijanji’ (bermaksud ‘Batu Perjanjian’ dalam bahasa Bidayuh).

FECEA atau Festival Filem Sekolah Antarabangsa Alvorada merupakan festival filem antarabangsa anjuran Brazil sejak 2014 bagi memberi pengiktirafan terhadap kerja-kerja seni audio visual yang dihasilkan di peringkat sekolah.

Abdul Karim juga memuji guru kedua-dua murid tersebut, Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi dan Mohd Reduan Patah yang membimbing mereka sepanjang 10 hari penerbitan filem pendek itu yang menggunakan teknik merotoskop yang popular dalam kalangan anak muda yang bercita-cita menjadi juruanimasi ala-Hollywood.

“Jalan cerita filem pendek mereka cukup indah kerana ia mengisahkan mengenai persahabatan dua sahabat ketika kecil, Bibi dan Sarah yang kisahnya berakhir dengan kesedihan.

“Naratif cerita adalah mengenai orang-orang muda yang begitu menghargai persahabatan mereka yang mampu bertahan lama.

“Kami juga gembira melihat filem pendek itu mendapat lebih 1,000 tontonan walaupun ia hanya dimuat naik di YouTube kira-kira tiga minggu lalu dan berpotensi mendorong lebih banyak anak muda tempatan untuk mengikuti jejak mereka,” kata Abdul Karim.

Sementara itu, beliau meminta mereka yang berminat untuk mengembangkan usaha dalam industri kreatif agar memohon geran dan bantuan dari Dana Industri Kreatif Belia Sarawak (SYCIF)  yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tahun lalu.

“Kami berharap Macgres dan Nabiatul akan terus bercita-cita tinggi dan mengembangkan bakat mereka lebih jauh dalam bidang pembuatan filem kerana walaupun pada usia muda, mereka membuat kita berbangga kerana karya mereka juga dipilih dalam senarai pendek Anugerah ‘Animasi Terbaik (Sekolah Rendah)’, ” katanya.

Karya kedua-dua pelajar itu sebelum ini dinobatkan sebagai salah sebuah 11 Filem Pendek Asia Terbaik pada 2019 di bawah inisiatif #SubmitYourFilm oleh laman web filem dalam talian, Asian Movie. – Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top