MELAKA: Sarawak dan Sabah, yang bersama-sama Malaya, menubuhkan Malaysia, berazam untuk kekal bersama Persekutuan Malaysia dan memastikan pembangunan berterusan secara bersama, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg pada Jumaat.
Beliau berkata Sarawak akan terus berpegang teguh kepada ikrar untuk bersama-sama Malaysia dan membangun berdasarkan syarat-syarat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.
Beliau berkata Hari Malaysia adalah detik bersejarah yang sangat penting yang disambut bersama bagi menghormati perjuangan pemimpin dan rakyat terdahulu, yang mengharungi pelbagai cabaran bagi mencapai hasrat mereka untuk menjadi sebuah negara yang bebas, berdaulat dan bersatu padu.
“Berbekalkan semangat nasionalistik dan patriotisme, rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan latar belakang sosial, pastinya akan mengangkat tema Hari Malaysia tahun ini, Keluarga Malaysia, Teguh Bersama.”
Video ucapan beliau telah disiarkan pada sambutan Hari Malaysia yang diadakan di sini malam ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, dalam siaran ucapannya, berkata tema sambutan itu menekankan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah yang hidup dalam harmoni, bersatu dalam keamanan, kebersamaan dan kesyukuran.
Sambutan Hari Malaysia pertama kali diadakan di Semenanjung, dengan Melaka sebagai tuan rumah. Sambutan tersebut sebelum ini diadakan silih berganti antara Sabah dan Sarawak.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata rakyat Melaka sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan pragmatik mengenai kaum dan agama.
“Malah, amalan ini bermula sejak zaman kesultanan Melaka,” katanya dalam siaran videonya. – BERNAMA