KUCHING: Sarawak dijangka membentangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) yang akan memantapkan lagi hak negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata RUU berkaitan tanah itu akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
“Kita ada pindaan yang kita akan buat dengan undang-undang tanah.
“Dan ketika ini saya belum lagi dapat mengumumkannya, pada dasarnya kabinet telah bersetuju untuk dibawa kepada DUN.
“Ini akan memantapkan lagi hak kita dari berapa sudut dan kita tengok apabila DUN bersidang nanti,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.
Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 akan diadakan bermula 17 hingga 26 Mei ini.
Mengenai sambutan rumah terbuka, Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang hadir yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama datang meraikan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya rasa kagum dengan sambutan rakyat berbilang kaum datang ke rumah terbuka ini.
“Ia membayangkan selepas dua tahun kita tidak mempunyai majlis rumah terbuka saya rasa ini adalah permulaan supaya kita dapat hidup normal,” katanya.
Abang Johari bagaimanapun pada masa yang sama menasihati rakyat terus berwaspada walaupun keadaan pandemik sudah semakin baik.
Katanya beliau pada majlis rumah terbuka berkenaan turut menerima respons daripada rakyat yang menyatakan kegembiraan mereka dengan apa yang telah dilaksanakan kerajaan.
Abang Johari yakin bahawa selepas ini ekonomi negeri akan berkembang dan kegiatan ekonomi terus berjalan lancar.
“Kita ada beberapa projek yang agak tergendala disebabkan COVID-19 dan saya begitu yakin bahawa pemulihan akan berlaku dengan cepat,” katanya.
Berita asal: Utusan Borneo