SAPP, MCA Turut Sokong Keputusan Longgarkan SOP Di Sabah

yong-dan-Lu.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee tampil menyatakan sokongannya atas keputusan kerajaan negeri Sabah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini.

Dalam kenyataannya Yong berkata, banyak daerah di Sabah yang kurang kepadatan penduduknya merekodkan jumlah kes rendah atau tiada langsung kes selama beberapa minggu dalam pada program vaksinasi sedang dijalankan.

“Jadi tidak sepatutnya ada keadaan SOP ‘satu untuk semua’ bagi keseluruhan negeri dan daerah di seluruh Malaysia,” katanya.

Yong juga mengingatkan bahawa Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memuji kejayaan Sabah mengekang Covid-19.

“Kita juga tidak harus lupa bahawa sesuai dengan MA63, dan berdasarkan pengumuman perdana menteri di Sarawak beberapa bulan lalu, Sabah dan Sarawah adalah wilayah bukannya sekadar sebuah sebuah negeri,” katanya.

Turut menyuarakan sokongan terhadap langkah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan kerajaan negeri berhubung kelonggaran SOP ialah MCA Sabah.

Pengerusi Perhubungan MCA Sabah Lu Ten Tung (gambar, kanan) berkata status Sabah sebagai ‘wilayah’ dan memiliki hak autonomi berhak untuk memutuskan SOP yang difikirkan sesuai dan bermanfaat bagi rakyatnya.

Katanya, apa yang seharusnya dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah dengan mengeluarkan satu set SOP baru (untuk Sabah) setelah pengumuman Ketua Menteri pada hari Isnin (28 Jun) bagi mengelakkan kekeliruan.

Beliau turut mencadangkan bahawa jika kadar jangkitan Covid-19 harian di Sabah kurang dari 300 kes selama tujuh hari berturut-turut, MKN dapat menyerahkan kuasa kepada ketua menteri untuk melaksanakan lebih banyak rancangan pemulihan yang sesuai untuk Sabah.

“Ini penting kerana hanya kerajaan negeri yang memahami sektor mana yang penting untuk pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.

Lu juga menyarankan agar pemerintah negeri menubuhkan ‘one stop centre’ untuk memproses dan mengeluarkan semua dokumen yang diperlukan untuk membuka kembali perniagaan atau bagi urusan perjalanan antara daerah.

“Ini akan meringankan beban rakyat, kerana mereka tidak lagi harus pergi dari satu tempat ke tempat lain ketika hendak meminta kebenaran,”ujarnya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top