SAPP Masuk PN, Melanie Keluar Parti

Melanie-Chia.jpg
Kongsi Bersama

Bekas Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Melanie Chia, hari ini mengumumkan keluar dari parti selepas 26 tahun bersama parti itu dan menjadi salah seorang pengasas SAPP.

Tindakannya itu dipercayai berpunca daripada keputusan SAPP untuk menjadi salah satu komponen Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan , beliau menyatakan sudah tidak sehaluan pendapat dengan arah parti itu yang mendorongnya berbuat demikian.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang itu berkata, pada 2008 dia melepaskan jawatan sebagai Pembantu Menteri Kewangan tanpa ragu-ragu ketika SAPP menyatakan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) demi memperjuangkan hak dan autonomi Sabah dengan lebih baik.

“Ia bukan keputusan yang mudah dan selepas bergelut untuk membina parti ini,” katanya yang menghantar surat peletakan jawatan pada 19 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Melanie berkata dia tetap memberi jaminan untuk terus melaksanakan aspirasinya dan berusaha untuk menjadikan masa depan Sabah lebih baik dan akan meneruskannya melalui platform politiknya sendiri.

“Saya tidak akan menyertai mana-mana parti politik, tetapi saya akan meneruskan peranan saya untuk kebaikan Sabah dan rakyat Sabah.

“Untuk itu, saya akan bersedia berkerjasama dengan orang yang mempunyai pemikiran yang sama dalam pakatan yang benar-benar komited untuk perubahan negara yang kita cintai dan Sabah terutamanya,” katanya.

Katanya lagi, dia mendapati ramai rakyat Malaysia tertekan dan kecewa dengan situasi politik semasa bukan hanya di Sabah tetapi seluruh Malaysia.

“Ramai mengatakan mereka tidak mahu memilih pada hari pengundian yang akan datang. Tetapi kita tidak boleh menyerah dan berputus asa dengan proses demokrasi.

“Kita perlu keluar dari situasi ini dan menjadi lebih matang dan menggunakan hak demokrasi kita dengan betul. Menyerahkan hak demokratik itu sama seperti kita tunduk dimana menjadikan kita lebih berputus asa.

“Seperti yang pernah dikatakan oleh mendiang Martin Luther King Jr, ‘Kita mesti menerima kekecewaan yang terbatas, tetapi tidak pernah kehilangan harapan yang tidak terbatas’,” katanya.

Sehubungan itu, Melanie berkata dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk membantu dan mempersiapkan anak muda untuk memimpin dengan nilai politik dan moral yang betul. – Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top