SAPP Gesa Putrajaya Tunai Janji 2013, Tubuh 7 Batalion Cegah Pencerobohan Di Sabah

yong-teck-lee004.jpg
Kongsi Bersama

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee menggesa Putrajaya mengotakan janji pada 2013 susulan pencerobohan militan di Lahad Datu, termasuk menubuhkan tujuh batalion anggota keselamatan di negeri ini.

Janji lain ialah perolehan kapal peronda laut dan aset keselamatan lain di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

“Antara aset penting yang diperlukan Sabah adalah pangkalan penguatkuasaan maritim lengkap, yang sudah lama tertangguh di Lahad Datu, iaitu markas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Pangkalan penguatkuasaan maritim baharu ini, di bawah bidang kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dapat menambah usaha memerangi jenayah rentas sempadan dan menghentikan Abu Sayyaf serta penjenayah lain daripada mencetuskan masalah di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Yong memuji kejayaan polis menumpaskan kumpulan kecil militan Abu Sayyaf di Beaufort pada Isnin yang menunjukkan penceroboh lain tiada tempat bersembunyi, selepas menyelinap ke Sabah.

“Saya yakin rakyat Malaysia bersyukur kerana pasukan keselamatan kita, seperti polis dan ESSCOM, telah menyerang sel militan di Beaufort.

“Ini mengejutkan bahawa militan bersembunyi di Beaufort kerana pekan itu terletak di barat daya Sabah, jauh dari ESSZONE di pantai timur Sabah yang dilindungi ESSCOM.”

Beliau turut meminta penduduk di kawasan setinggan memainkan peranan aktif membantu pihak berkuasa mengesan kehadiran penceroboh.

Isnin lalu, kumpulan kecil Abu Sayyaf tumpas selepas lima lelaki ditembak mati di kawasan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort, di sini.

Kelmarin, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dilaporkan berkata, operasi gabungan polis dan ESSCOM kelmarin berjaya melumpuhkan sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah serta mempunyai kaitan dengan kumpulan IS.

Tetapi, beliau percaya masih ada saki-baki atau tali barut Abu Sayyaf ataupun pejuang IS yang bersembunyi di Malaysia, khususnya di Sabah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top