SAPP gesa PN tidak bertanding PRN Sabah

Yong.jpg

DSP Yong Teck Lee (gambar fail)

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) meminta rakan gabungannya di peringkat nasional Perikatan Nasional (PN) supaya tidak bertanding pada pilihan raya Sabah akan datang.

Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee dilaporkan oleh The Star sebagai berkata partinya akan bertanding di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gabungan tempatan yang kini bersekutu dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata SAPP adalah sebahagian daripada GRS dan ditubuhkan di bawah naungan pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan penubuhannya semasa pilihan raya Sabah 2020.

Susulan penubuhan itu, GRS melalui pakatan kerjasama dengan Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menumbangkan kerajaan Warisan Plus yang diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada pilihan raya tersebut.

“Saya memberitahu GRS bahawa dalam pilihan raya negeri, SAPP akan bertanding di bawah GRS,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan SAPP bahagian Likas di sini semalam (Isnin), bekas ketua menteri itu berkata bahawa SAPP kekal dengan pendiriannya bahawa parti itu bersama gabungan pembangkang di peringkat nasional manakala ia kekal bersama GRS di peringkat negeri.

“SAPP adalah ahli GRS. GRS ditubuhkan oleh Perikatan (PN). Kami tidak mengubah pendirian kami. Kami tidak perlu memilih,” katanya sambil menambah bahawa pembentukan GRS adalah semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, selepas pilihan raya parlimen November 2022, ADUN GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meninggalkan PN dan beralih taat setia kepada kerajaan perpaduan pimpinan PH yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SAPP bagaimanapun tidak mengikut langkah meninggalkan PH dan kekal sebagai ahli gabungan pembangkang kebangsaan. SAPP juga mengekalkan penyertaannya dalam GRS di peringkat negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top