KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, cadangan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri tidak akan bermakna tanpa penyertaan Warisan.
Katanya, semua pihak perlu menerima hakikat parti pembangkang utama di Sabah adalah Warisan bukannya PH malah hanya ada satu parti tempatan dalam PH iaitu UPKO.
“SAPP berpendapat bahawa sebarang perjanjian antara GRS dan parti pembangkang di Sabah tiada makna tanpa penyertaan parti Warisan iaitu sebuah parti tempatan Sabah yang bukan anggota PH.
“Ini kerana parti pembangkang seperti PKR serta DAP adalah dari Semenanjung dan pemimpin mereka di Sabah pula tidak mempunyai hak untuk bersuara, sehinggakan perbincangan sulit antara pemimpin tertinggi DAP dan GRS mesti diketuai oleh supremo mereka, Lim Guan Eng.
“Perbincangan sulit di sebalik tabir antara PH dengan pemimpin GRS juga telah dibocorkan oleh pemimpin PH yang terlalu ghairah agar MoU ditandatangani,” katanya dalam kenyataan.
Yong berkata, secara realistiknya, sebarang perbincangan mengenai sebarang perjanjian kerjasama dengan parti pembangkang di Sabah harus melibatkan Warisan.
Katanya, sama ada Warisan mahu terlibat atau tidak adalah perkara berbeza yang perlu ditangani apabila tiba masanya untuk “menyeberangi jambatan tersebut”.
“Selanjutnya, setiap perjanjian kerjasama antara GRS dan pihak pembangkang harus menegakkan aturan hukum atau kedaulatan undang undang.
“Pakatan kerjasama tidak harus dicemari oleh sebarang tanda seperti “penyelesaian di luar mahkamah” bagi kes mahkamah yang sedang berjalan atau litigasi lain di hadapan mana-mana mahkamah undang-undang,” katanya.
Terdahulu, PH Sabah berkata, semangat dwipartisan seperti dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan boleh dipanjangkan ke peringkat kerajaan negeri ini.
Dalam kenyataan bersama baru-baru ini, gabungan berkenaan berkata pelaksanaan kerjasama itu membolehkan semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang fokus bagi memulih serta membangunkan semula Sabah.