Sapawi Tawar Diri Tanding Jawatan Yang Dipertua USIA

sapawi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad menawarkan diri bertanding jawatan Yang Dipertua USIA pada mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu pada 25 Jun ini.

Ketika mengumumkannya pada sidang media di sini kelmarin, Ketua USIA Bahagian Sipitang itu berkata kesediaannya itu dibuat setelah mendapat pencalonan dari 27 bahagian USIA, yang melayakkannya untuk bertanding.

Katanya, misi utamanya untuk menerajui kepimpinan USIA adalah untuk memperkasa dan menggilap imej pertubuhan itu, mempelbagaikan aktiviti dakwah serta mengukuhkan pengurusan organisasi, aset dan kewangan.

“Saya ingin membawa USIA supaya relevan dengan perkembangan semasa, seiring bersama-sama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memacu agenda pembangunan ummah keseluruhannya,” katanya.

Sapawi yakin dapat membawa perubahan kepada USIA berdasarkan pengalaman yang dimilikinya, termasuk pernah menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Bekas Ahli Parlimen Sipitang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama lima penggal ini juga pernah menjadi Pengarah Yayasan Sabah dan Pengerusi Sawit Kinabalu selain pernah menjadi Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang ditugaskan menyelia hal-ehwal agama Islam di Sabah.

Beliau berharap perwakilan bijak memilih saf kepimpinan baharu yang sehaluan dengan aspirasi kerajaan negeri dan Persekutuan kerana ia penting dalam melaksana visi dan misi serta gerak kerja USIA pada masa depan.

“Saya cukup yakin ia dapat dilaksana dengan sokongan semua ahli yang ingin melihat kejayaan USIA bersama barisan kepimpinan baharu.

“Saya juga beriltizam untuk mempelbagaikan program dakwah dan memperkasakan media sosial selaras dengan perkembangan arus perdana sebagai medium untuk menyebarluas dan berkongsi maklumat kepada ahli serta orang ramai.

“Dalam mengembleng usaha mempertingkatkan pengurusan aset, saya juga berazam untuk menerima cadangan daripada bahagian-bahagian dalam menentukan hala tuju pengurusan aset USIA di bahagian masing-masing,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top