Sanusi Beri Bayangan Bubar DUN Kedah Pada Julai 2023

sanusi.jpg
Kongsi Bersama

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberikan bayangan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hanya akan dibubarkan sekitar bulan Julai tahun hadapan.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mengambil kira beberapa faktor seperti bencana banjir, sambutan Hari Raya Aidilfitri, sambutan Hari Raya Aidiladha serta tempoh mengerjakan haji bagi umat Islam.

Beliau juga memaklumkan, telah menghubungi beberapa menteri besar di negeri-negeri yang tidak membubarkan DUN masing-masing, termasuk Selangor, agar pilihan raya di negeri terlibat dapat diadakan serentak.

“Kita tidak setuju Parlimen dibubarkan pada ketika ini, maka negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, tinggallah aku jadi Menteri Besar lagi, hampa (kamu semua) jangan jealous (cemburu).

“Insya-Allah tuan-tuan, kita akan hadapi pilihan raya negeri (PRN) yang belum bubar tahun depan.

“Selepas bulan Mac, banjir sudah tidak ada, tetapi selepas itu puasa dan raya. Selepas itu orang hendak pergi Mekah dan sembelih lembu. Lepas sembelih lembu, baru kita bubar. Saya maklum siap-siap. Jadi, lambat lagi (DUN Kedah akan dibubarkan),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Jentera Perikatan Nasional Peringkat Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa, desakan daripada Barisan Nasional dan UMNO untuk Parlimen dibubarkan segera adalah semata-mata bertujuan menyelamatkan pemimpin-pemimpin tertentu daripada kes mahkamah yang dihadapi.

Jelasnya, keputusan itu terpaksa dibuat meskipun banyak pihak tidak bersetuju memandangkan ia mungkin menyebabkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) diadakan ketika musim banjir.

Sebelum ini, Pas mengesahkan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15 yang akan diadakan 19 Nov ini.

Keputusan sama turut diambil Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dengan tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top