Sandakan Naik Taraf Bandar Raya Februari Depan – Bung Moktar

Sandakan.jpg
Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Sandakan akan dinaik taraf sebagai bandar raya kedua di Sabah selepas Kota Kinabalu, Februari depan, selaras semua kriteria sebagai sebuah bandar raya kini dipenuhi, kata Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin.

Sehubungan itu beliau berkata prapelancaran Sandakan sebagai sebuah bandar raya dijangka disempurnakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, bulan ini.

“Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sandakan (JPEPS) telah bermesyuarat bagi merancang merealisasikan Sandakan sebagai sebuah bandar raya kedua di Sabah selepas Kota Kinabalu pada 22 Feb depan.

“Semua permohonan yang berkaitan telah dimajukan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Ke Sekolah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SESB Abdul Nasser Abdul Wahid.

Bung Moktar yang juga pengerusi JPEPS berkata pelbagai perancangan menaik taraf Majlis Perbandaran Sandakan sebagai Dewan Bandaraya telah dirancang, termasuk mewujudkan hospital swasta, memastikan perumahan mencukupi serta pembangunan kemudahan infrastruktur awam.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata status Sandakan sebagai bandar raya kelak akan turut memperkasakan daerah berhampiran seperti Beluran, Kinabatangan dan Tongod daripada segi pembangunan ekonomi selain menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut.

Pada majlis itu, Bung Moktar turut menyampaikan bantuan persekolahan sumbangan SESB kepada 300 murid di Kinabatangan selain sumbangan berjumlah RM34,000 kepada Sekolah Kebangsaan Kuamut yang menjadi sekolah angkat SESB untuk membantu pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.– BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top