Sandakan Mampu Jadi Pusat Pelancongan Terbuka

sandakan-1.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Pelan Pembangunan Pelancongan Daerah Sandakan 2020 – 2030 oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) diyakini mampu menjadikan daerah ini sebagai salah sebuah pusat pelancongan terkemuka di kawasan Pantai Timur.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelan yang mempunyai perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang itu adalah komprehensif dan dengan adanya komitmen semua pihak, ia diyakini dapat membantu merancakkan sektor pelancongan daerah.

Berdasarkan lawatan ke Wisma Warisan MPS, Taman Tun Razak dan Pasir Putih, beliau mendapati lokasi-lokasi itu memang banyak kekurangan yang perlu diperbaiki untuk menarik kehadiran pelancongan asing dan domestik.

“Dari segi prasarana yang ada di tempat ini, memang menampakkan ia tertinggal jauh dari segi kebersihan dan penjagaan.

“Saya akan ambil tindakan berbincang dengan ahli-ahli yang berhormat dan MPS untuk memastikan tempat ini kembali menjadi tempat tarikan pelancong.

“Tiga kawasan ini pernah menjadi ikon pada suatu ketika dahulu tetapi kini nampaknya sudah terbiar. Saya juga difahamkan pihak Jabatan Landskap Negara telah mengambil perhatian. Saya minta kalau boleh pihak berkaitan untuk memberi tumpuan khusus agar tiga kawasan ini dapat diperbaiki dan diberikan peruntukan yang mencukupi untuk keselesaan rakyat dan pelancong,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata kementeriannya ketika ini masih lagi memberi tumpuan untuk merancakkan semula industri pelancongan domestik memandangkan pintu sempadan masih lagi ditutup.

Menurut beliau, situasi semasa di Kundasang yang ketika ini penuh dengan pengunjung dan kenderaan jelas menampakkan petanda yang baik kepada sektor pelancongan domestik.

“Ketika ini kerajaan negeri telahpun memutuskan untuk membenarkan pelancong atau rakyat dari Brunei Darussalam untuk datang ke Sabah. Dan, sekiranya kerajaan memutuskan untuk membuka semula pintu masuk ke Sabah, kita alu-alukannya. Kita harap pandemik COVID-19 akan berlalu bagi membolehkan kita memulakan semula sektor pelancongan kita,” katanya.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Haji Mohd Hamsan Awang Supain, ADUN Dilantik, Suhaimi Haji Nasir dan Timbalan Presiden 1, Faridah Giau. – Utusan Borneo


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top