Sambutan Tahun Baharu Dibatalkan, Diganti Solat Hajat dan Doa Selamat – PM

ismailsabri975r.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan telah memutuskan untuk membatalkan acara sambutan tahun baru bagi menghormati mangsa banjir.

Beliau berkata, susulan pembatalan tersebut, rumah-rumah ibadat disaran mengadakan doa selamat dan solat hajat mengikut kepercayaan masing-masing.

“Pada tahun ini saya mengambil keputusan untuk membatalkan sambutan tahun baharu dan digantikan dengan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri.

“Saya telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk menganjurkan Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 pada 31 Disember 2021 di Masjid Putra, Putrajaya,” katanya, dipetik dari Facebook beliau semalam.

Justeru itu, beliau mengajak Keluarga Malaysia yang beragama Islam untuk sama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya pada malam esok.

“Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah.

“Saya juga menyarankan agar masjid-masjid di seluruh negara, terutamanya masjid negeri, menganjurkan majlis yang sama.

“Manakala Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.

“Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top