KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan yang merupakan perayaan terbesar di Sabah, kini diadakan semula secara fizikal selepas dua tahun diadakan secara hybrid.
Pada 1 April lalu, negara beralih dari fasa pandemik kepada endemik yang memberi kelonggaran untuk mengadakan aktiviti sosial.
Walau bagaimanapun, pihak penganjur di peringkat induk dan di peringkat daerah sentiasa memastikan agar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi bagi mengelak berlakunya jangkitan Covid-19.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr, Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022 berkata, sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini turut disambut secara fizikal di semua daerah dan beberapa Cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Semenanjung seperti Johor, Melaka, Klang Valley dan Putrajaya.
Katanya, begitu juga warga Sabah yang berada di luar negara seperti New Zealand, Australia (Perth) dan USA (New York) yang sedang merancang untuk mengadakan sambutan di sana.
Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung Ahad ini (1 Mei) bertempat di Pusat Kraftangan Sabah, Keningau, akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Dr. Jeffrey berkata, beberapa aktiviti akan diadakan sempena pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022 di Keningau yang mana sebelum ini tidak dapat diadakan atau hanya diadakan secara hybrid, akan diadakan semula secara fizikal dan dilaksanakan dalam bentuk pertandingan yang melibatkan penyertaan dan hadiah seperti pertandingan unduk ngadau, sugandoi, sukan rakyat, masakan tradisi dan paluan gong.
“Antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah Hari Peladang Penternak dan Nelayan Negeri Sabah Tahun 2022, pameran dan jualan kraftangan, konsert Kaamatan, gerai jualan dan cabutan tiket bertuah yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 29 April 2022,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Manakala, kemuncak sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah akan diadakan di Hongkod Koisaan, KDCA pada 30 dan 31 Mei 2022. Majlis perasmiannya dijangka akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Haji Mahiruddin pada 31 Mei.
Dr. Jeffrey berkata, tema sambutan pesta kaamatan pada tahun ini ialah “Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi, “Kaamatan Monunduan Do Winorun” dan “Kaamatan Ensouls Nature”.
“Selaku Pengerusi Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022, Saya mengharapkan sambutan pesta kaamatan pada tahun ini dapat diraikan dengan meriah di semua peringkat melalui keharmonian dan perpaduan antara kaum di Negeri Sabah.
“Justeru itu, semua pihak perlulah sentiasa memastikan keselamatan diri dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Jabatan Penyiaran Kawasan Sabah selaku penyiar rasmi media elektronik Kaamatan di bawah Jawatankuasa Teknikal, Publisiti dan Hebahan juga melancarkan lagu kaamatan yang bertajuk “POGUN KU” atau dalam bahasa melayu “Negeri Ku” semalam.