Sambutan Perayaan Hantu Lapar Dibenar Ikut SOP

hantu-lapar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membenarkan upacara keagamaan untuk Perayaan Hantu Lapar (Perayaan Zhongyuan atau Yulanpen yang disambut oleh penganut agama Buddha dan Tao) di rumah ibadat dari 8 Ogos hingga 6 September, tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun  berkata kehadiran di rumah ibadat terhad kepada 12 orang sahaja termasuk ahli jawatankuasa dan tertakluk kepada penjarakan fizikal.

“Waktu operasi adalah dari jam 6 pagi hingga 2 petang dan 4 petang hingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu, menambah adalah wajib untuk penganut dan ahli jawatankuasa membawa peralatan sembahyang mereka sendiri kerana perkongsian peralatan tidak dibenarkan.

Masidi menambah bahawa kehadiran kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak digalakkan.

SOP wajib harus digunakan, termasuk mendaftar kehadiran pada MySejahtera atau buku daftar, pemeriksaan suhu badan dan penggunaan pelitup muka serta cecair pensanitasi tangan, antara lainnya.

Beliau menambah, sambutan perayaan di rumah pada 21 dan 22 Ogos adalah dibenarkan tetapi tertakluk kepada peraturan mengikut jenis kediaman.

Masidi berkata bagi kediaman atas tanah, sambutan di kawasan rumah hanya dibenar dalam kalangan ahli keluarga sama.

“Bagi kediaman bertingkat, tidak lebih daripada 10 ahli keluarga dibenarkan pada satu-satu masa dan hanya dengan persetujuan dan pemantauan jawatankuasa pengurusan bangunan itu,” kata Masidi.

Beliau berkata jawatankuasa pengurusan mesti memastikan setiap kehadiran direkodkan di MySejahtera, SabahTrace atau dalam buku daftar.

Jawatankuasa juga mesti menyediakan kaunter di pintu masuk untuk tujuan pemeriksaan suhu badan, merekodkan kehadiran dan cecair pensanitasi tangan di samping menjalankan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit pada setiap sesi.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top