Sambutan Luar Jangka, PM Ucap Terima Kasih Kepada Lebih 100,000 Pengunjung

open-house-PM.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: “Sambutan luar daripada jangkaan. Setinggi terima kasih kepada semua pengunjung yang datang,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menghargai kehadiran pengunjung terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum yang bersama-sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Ahad.

“Walaupun sepatutnya program bermula 10 pagi tetapi pukul 9 pagi orang beratur panjang. Jadi kita benarkan masuk 9.30 pagi, manakala sepatutnya ia berakhir pukul 4 petang.

“Akhirnya sekarang ini lima minit hampir pukul 5 petang, berakhir orang beratur untuk bersalaman dengan menteri sebagainya. Jadi saya nak ucapkan setinggi terima kasih kepada semua pengunjung yang datang bersama-sama menyambut Aidilfitri di rumah terbuka ini,” katanya kepada pemberita di sini petang semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, kehadiran pengunjung melebihi 100,000 orang sekali gus mengatasi sasaran asal iaitu sebanyak 70,000 pengunjung.

“Kita menyasarkan 70,000 pengunjung tetapi saya dimaklumkan lebih daripada 100,000 pengunjung hadir hari ini. Sebab itu saya kata tadi, jangka masa pun telah ditambah satu jam setengah iaitu setengah jam lebih awal (masuk) dan satu jam lewat (majlis berakhir) daripada yang ditetapkan.

“Bagi saya apa yang digambarkan hari ini dengan kehadiran ramai berbilang kaum menunjukkan Malaysia benar-benar seperti suatu keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia seperti saya idam-idamkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang menghebahkan penganjuran majlis rumah terbuka tersebut kira-kira seminggu atau dua minggu lebih awal sebelum ini.

“Ini merupakan punca juga orang ramai tahu dan hadir hari ini. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bertugas yang menyediakan makanan, menyambut tetamu dan semua sekalilah,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri berkata, sambutan yang diterima adalah luar biasa dan tidak dijangka, malah pertama kali dalam sejarah kehadiran tetamu dalam jumlah tersebut.

“Pertama kali dalam sejarah tetamu seramai ini. Pukul 8 pagi, Keluarga Malaysia mula beratur dan program yang sepatutnya bermula 10 pagi dimulakan seawal 9 pagi.

“Perdana Menteri ambil keputusan untuk lanjutkan sehingga selesai meskipun majlis sepatutnya berakhir pukul 4 petang. Beliau tidak sampai hati melihat Keluarga Malaysia beratur panjang menunggu giliran,” katanya. – UTUSAN

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top