Sambutan Kaamatan terjemahkan perpaduan rakyat – Dr Jeffrey

dr-jeffrey-2.jpg

Dr Jeffrey (gambar fail)

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Penganjuran Pesta Kaamatan, bukan sahaja di Sabah malah di Semenanjung Malaysia, Labuan, dan Sarawak, dapat menterjemahkan perpaduan rakyat di peringkat nasional dengan nyata.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata selain memperkenalkan budaya tempatan, Pesta Kaamatan juga memupuk semangat kekitaan dalam kalangan pelbagai etnik khususnya di Sabah.

“Perpaduan menjadi kenyataan melalui Pesta Kaamatan, dan ia juga memberikan semangat kekitaan,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini pada Rabu.

Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan berkata cuti Kaamatan membolehkan rakyat Sabah khususnya golongan belia di Semenanjung pulang ke kampung halaman bagi meraikan kemuncak perayaan itu yang akan berlangsung selama dua hari mulai Khamis.

Penganjuran Pesta Kaamatan tahun ini yang bertemakan “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan” melibatkan perbelanjaan RM2.5 juta.

Jeffrey berkata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor akan melancarkan acara itu hari ini (Khamis), manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menutupnya pada hari berikutnya (Jumaat).

Acara kemuncak yang ditunggu-tunggu setiap tahun ialah pengumuman Unduk Ngadau.

Tahun ini, 51 peserta Unduk Ngadau dari daerah, pekan dan cawangan KDCA, termasuk enam dari Semenanjung Malaysia dan masing-masing seorang dari Labuan dan Sarawak, akan bertanding di peringkat akhir pada Jumaat.

Dalam pada itu Jeffrey turut melahirkan rasa terima kasih atas peranan penting media dalam mempromosikan aktiviti sempena perayaan selama sebulan itu, yang dilancarkan pada 1 Mei lalu di Ranau.

 

Sumber: BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top