Sambutan Hari Kebangsaan: 7000 Orang Banjiri Padang Merdeka

merdeka-sabah.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Padang Merdeka dibanjiri 7,000 orang dalam Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022 semalam. Program dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Julia Salag.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan serta Menteri-Menteri Kabinet Sabah, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Acara sambutan dimulakan nyanyian lagu, “Negaraku” dan “Sabah Tanahairku”, sebelum Tun Juhar Mahiruddin menerima Hormat Diraja daripada Mejar Muhammad Zul Afifie Muhammad Rizal yang mengetuai Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Tun Juhar kemudiannya memeriksa KKU yang terdiri daripada 130 orang anggota dan tiga pegawai.

Acara diteruskan dengan perarakan masuk Jalur Gemilang dan bendera Sabah masing-masing oleh Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), disusuli perarakan bendera semua negeri dan bendera tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

Setelah itu, 86 kontinjen perbarisan yang menyertai pertandingan berarak masuk antaranya, Jabatan Perhutanan Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Persatuan Ikatan sosial Keluarga Toraja Baruppu-Anak Negeri Sabah, Komander Kesatria UiTM Cawangan Sabah, Kumpulan Yayasan Sabah dan Pertubuhan Khidmat Kemanusiaan Alpha Kappa Rho Malaysia.

Ia diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh empat anggota TLDM dan lafaz ikrar oleh 14 anggota badan beruniform yang diketuai oleh anggota Tentera Darat Diraja Malaysia, Leftenan Kolonel Mohd Zahirin Zainol Abidin.

Selepas itu, menyusul persembahan koir oleh 36 orang daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Sabah Credit yang mendendangkan tiga buah lagu iaitu “Keluarga Malaysia”, “Menang Bersama” dan “Malaysia Prihatin”.

Buat julung kalinya, Sabah memperkenalkan Anugerah Khas Hari Kebangsaan Negeri Sabah Tahun 2022 bagi mengiktiraf dan mengetengahkan sumbangan oleh golongan belia yang mengharumkan nama Sabah dan Malaysia umumnya di persada antarabangsa.

Bagi anugerah ini, Tun Juhar menyampaikan cek cura RM 5,000 serta sijil kepada pelajar Kolej Vokasional Keningau, Alesya Asa.

Suasana di Padang Merdeka bergemuruh apabila Angkatan Tentera Malaysia mempersembahkan aksi-aksi hebat dalam Persembahan Tanpa Senjata (TTS).

Menutup acara, KKU kemudiannya masuk semula sebelum keberangkatan Tun Juhar serta tetamu kenamaan lain beredar meninggalkan majlis. – JaPen Sabah

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top