KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengalami kerugian lebih RM150 juta setahun akibat masalah kecurian air menerusi penyambungan paip haram terutama di kawasan setinggan.
Pengarahnya, Ir Edward Lingkapo berkata, secara keseluruhan penggunaan air di Sabah sebanyak 1.3 bilion liter air setahun dan setiap tahun sebahagian daripada air yang disalurkan ini diambil menerusi penyambungan paip haram.
Berdasarkan operasi yang dilaksanakan, kebanyakan kes curi air berlaku di penempatan setinggan. Antara taktik yang sering digunakan adalah menebuk saluran paip utama untuk mendapatkan bekalan air melalui penyambungan haram.
“Di kawasan Kampung Tebobon ini, mereka menebuk saluran paip utama yang disalurkan terus daripada Loji Rawatan Air Telibong.
“Masalah air yang berlaku di University Utama Condominium (UUC) dan University Condo Apartment (UCA) turut terkesan daripada penyambungan haram di sini.
“Untuk itu, di kawasan Kota Kinabalu utara termasuk Telipok, Menggatal dan Sepanggar ini, kita mengalami kerugian RM4 juta setahun daripada kes curi air membabitkan penyambungan haram.
“Di Sandakan juga kita berhadapan dengan masalah yang sama, kita rugi tiga kali ganda daripada di Kota Kinabalu. Jika di sini, kita kehilangan lapan juta liter air sehari di Sandakan, boleh mencecah 30 juta liter air sehari,” katanya semasa operasi pemotongan penyambungan bekalan air haram pada Isnin.
Walau bagaimanapun, di Sandakan bekalan air daripada loji mereka cukup banyak maka, tidak menjejakan pengguna di kawasan sekitar.
Kes curi air yang berlaku di kawasan Tebobon ini menjejaskan bekalan air kepada pengguna yang bermeter kerana bekalan air tidak mencukupi ditambah pula dengan kecurian air yang berlaku.
Jika masalah kecurian air ini dapat dibanteras, lapan juta liter air yang diperoleh melalui penyambungan haram ini mampu membekalkan air ke UUC dan UCA.
Atas sebab itu, JANS memerlukan kerjasama semua agensi untuk memerangi masalah kes curi air melalui penyambungan haram ini.
Selagi ada penempatan setinggan, masalah kecurian air tidak akan berhenti dan JANS tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
“Kebanyakan mereka tiada kewarganegaraan dan tiada status tanah yang sah untuk membolehkan JANS mengambil tindakan undang-undang.
“Itulah penting untuk mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.
Untuk operasi kali ini, pemilik tanah adalah Jabatan Pertanian maka, JANS akan memohon kerjasama daripada mereka untuk mengusir penduduk setinggan ini daripada tanah jabatan bagi membolehkan masalah penyambungan haram ini dapat diselesaikan.
Jelasnya, operasi pemotongan bekalan air haram itu dilakukan selama tiga hari di sekitar kawasan Kota Kinabalu.