KOTA KINABALU: Isu pembekalan elektrik ke penempatan setinggan adalah merupakan subjek yang dibincang oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bersama Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan (KKTP) merangkap Menteri Kewangan ll Datuk Seri Panglima Masidi Manjun di Wisma Innoprise, di sini.
Perbincangan tersebut berlangsung ketika kunjungan hormat SESB ke pejabat KKTP yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid.
Masalah sambungan elektrik secara haram di penempatan setinggan bukan sahaja mengakibatkan gangguan bekalan di kawasan setempat malah memberi ancaman keselamatan kepada orang awam sehingga boleh membawa maut akibat renjatan elektrik serta menjadi punca kes-kes kebakaran di kawasan setinggan itu sendiri.
Menurut Ir. Abdul Nasser, SESB juga mengalami kerugian dengan anggaran RM20 hingga RM30 juta setahun akibat kecurian elektrik dan sambungan haram.
Rombongan SESB turut dihadiri oleh barisan pengurusan SESB iaitu Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan, Pengurus Besar (Kewangan) Puan Lisa Wan dan Pengurus Besar (Perkhidmatan Korporat) Puan Alesia Sion.
Selain itu, Masidi turut dimaklumkan mengenai pengoperasian semula sepenuhnya Kaunter Perkhidmatan Pelanggan SESB di seluruh negeri Sabah dan W.P Labuan dalam usaha SESB untuk memberikan kemudahan berterusan kepada pengguna.
Pembukaan semula kaunter ini akan memberikan peluang kepada pengguna untuk membuat pembayaran bil elektrik, permohonan bekalan elektrik, penukaran penama akaun dan penutupan akaun.
“SESB faham sememangnya ada pengguna yang terkesan dengan PKPB yang sedang dikuatkuasakan sekarang ini, justeru itu, SESB akan memberikan ruang kepada mereka yang mempunyai tunggakan bil elektrik berbincang dengan pihak SESB bagi mencari jalan penyelesaian yang baik,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata SESB akan menawarkan Pelan Ansuran Bayaran Mudah (PABM) kepada pengguna kategori kediaman yang berkelayakan.
Inisiatif ini diberikan kepada pengguna SESB yang terjejas pendapatan berikutan langkah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal Mac 2020.
“Tawaran ini kita berikan hanya kepada pengguna kategori kediaman yang layak dan mereka perlu hadir ke pejabat SESB untuk bertemu dengan pegawai SESB dan berbincang kaedah terbaik untuk mereka jelaskan tunggakan bil elektrik mereka,” katanya lagi.
Kunjungan hormat selama hampir dua jam itu turut membincangkan kolaborasi strategik di antara kedua belah pihak dalam usaha membantu pengurusan bil elektrik pejabat-pejabat Pihak Berkuasa Tempatan.
Hadir sama dalam sesi tersebut adalah Setiausaha Tetap KKTP Datuk Hajah Masnah Matsalleh, Setiausaha Akhbar Encik. Jes Elmer Barry Dawinda Bairi serta pegawai-pegawai kanan KKTP. – Utusan Borneo