1. Dalam politik Malaysia, antara perkataan yang paling popular ialah katak.
2. Dan sesiapa sahaja yang dikategorikan sebagai katak akan menjadi sasaran kutuk seranah untuk sesuatu tempoh, misalnya sehingga orang yang mengata itu mendapat sesuatu daripada katak tersebut, atau sehingga orang melupakan lompatan, atau lompatan-lompatan katak berkenaan.
3. Yang menariknya tindakan melompat sang katak itu hanya akan menjadi buruk kalau ia melompat ke kolam pihak lain, kalau masuk ke kolam kita, tak mengapa. Ok. No problem.
4. Bagi saya, selagi tidak ada undang-undang yang melarang tindakan wakil rakyat melompat parti, dan selagi perbuatan melompat itu bukan disebabkan kena beli atau menjual diri, selagi itu saya beranggapan ia bukanlah masalah besar.
5. Alasan yang selalu digunakan untuk mengecam tindakan mereka ialah mengkhianati kehendak rakyat. Saya tak bersetuju. Kalau mengkhianati kehendak parti, mungkin boleh dipertimbangkan.
6. Rakyat -maksudnya bukan ahli parti A atau B atau C dan lain-lain sahaja – memilih wakil rakyat untuk membela nasib mereka. Untuk melakukan sesuatu yang boleh menjadikan hidup mereka lebih baik daripada sebelumnya.
7. Kalau seseorang wakil rakyat merasakan dia tidak boleh memenuhi kehendak itu, misalnya dengan menjadi pembangkang, lalu beralih menjadi penyokong kerajaan atas sebab-sebab yang sama, maka di manakah khianatnya? Malah dia patut dipuji kerana mengorbankan prinsip peribadi demi memastikan rakyat yang diwakilinya mendapat apa yang mereka mahu.
8. Setia kepada parti bukanlah segala-galanya. Parti bukan agama. Ia hanya wadah untuk mencapai sesuatu matlamat yang diperjuangkan. Dan perjuangan itu pelbagai bentuknya. Ada yang nak berjuang untuk melihat partinya berkuasa, tetapi ada juga yang berjuang sebab nak bagi rakyat merasa. Jadi masing-masing berhak tepuk dada tanya selera.
9. Perdana Menteri paling hebat dalam sejarah British, Sir Winston Churchill pun pernah menjadi katak. Pada 1904 dia keluar dari Parti Konservatif dan berhijrah ke Parti Liberal kerana tidak bersetuju dengan beberapa perkara. 20 tahun kemudian dia melompat balik ke parti Konservatif.
10. Tindakan itu tidak sedikit pun mencatatkan perjalanan politiknya. Dia kekal hebat dan kehebatannya masih diperkatakan sampai sekarang. Ramai kawan-kawannya yang taat setia kepada Konservatif atau Liberal, dan kekal setia sampai berlumut, tetapi pencapaiannya tak seberapa pun.
11. Dan kalau saya ditanya pemimpin jenis mana yang jadi pilihan, saya lebih suka pemimpin yang berani mengambil risiko mencari teduh baharu daripada berdiri terpacak menanti pokok tumbang.
TAMAR JELES