KALABAKAN: Ketua Bahagian UMNO Kalabakan Samasuddin Yusop menafikan tuduhan mengaitkan namanya dengan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah yang diadakan pada 31 Disember depan.
Samasuddin berkata, tuduhan itu adalah fitnah dan direka bagi menjatuhkan imejnya sebagai Ahii Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Presiden Pertubuhan Alumni UMS.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai fitnah yang dilemparkan kepada saya dalam video berdurasi dua minit 34 saat di aplikasi WhatsApp, Facebook dan TikTok.
“Saya sangat kecewa dan terkejut mengenai penyebaran video yang kononnya saya menjadi dalang dalam perhimpunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia Daerah Tawau untuk siasatan lanjut.
“Laporan kepada pihak polis dan SKMM itu dibuat bagi mengesahkan diri saya bukanlah seperti mana yang disebut dalam video berkenaan.
“Saya memohon agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terkait dalam membuat dan menghebahkan video fitnah itu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu jelas merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan fitnah, Akta Hasutan, Akta 3R dan Akta Komunikasi dan Multimedia. – Sabah Post