Salur peruntukan pembangunan lebih awal – Ruslan

ruslan-muharram.jpg

Datuk Ruslan Muharam (gambar fail)

KUALA PENYU: Sebarang peruntukan pembangunan di bawah Bajet 2024 khususnya untuk Sabah diharap dapat disalurkan lebih awal iaitu pada awal bulan Februari tahun depan berbanding Julai, sepertimana sebelum ini.

Harian Ekspress dalam laporannya semalam memetik Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam sebagai berkata, langkah itu perlu bagi memastikan segala usaha dan perancangan pembangunan untuk rakyat serta wilayah ini berjalan lancar.

Menurut beliau, sebaiknya peruntukan berkenaan disalurkan sebelum pemberian peruntukan oleh Kerajaan Negeri pada bulan Mac setiap tahun.

“Kita berharap peruntukan di bawah bajet ini dapat disalurkan lebih awal kerana kebiasaanya ia disalurkan kepada Kerajaan Negeri pada pertengahan tahun atau selepas bulan Julai yang sudah tentu merencatkan pembangunan dirancang.

“Ia terlalu lambat kerana hanya berbaki empat ke lima bulan saja untuk kita realisasikan segala perancangan sebelum akhir tahun yang sudah tentu tidak sempat dilaksanakan semuanya.

“Sebaiknya apabila sudah diluluskan di parlimen, segera salurkan. Kalau boleh awal Februari tahun depan supaya pelaksanaan pembangunan Sabah dan rakyat dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kuala Penyu di Dewan Datuk Syahbandar Makang, di sini, pada Khamis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top