LAHAD DATU: Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang adalah penting dalam menentukan survival parti itu di negeri ini.
Justeru, beliau menggesa rakyat khususnya ahli UMNO mempersiapkan diri sepenuhnya sebelum memasuki medan politik pilihan raya negeri ke-17.
“Persiapan kita untuk menghadapi PRN mestilah tidak terhenti. Kita perlu membantu antara satu sama lain menghadapi PRN itu nanti.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat Sabah,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan SMK Terusan dekat sini semalam.
Beliau berkata, rakyat perlu memilih parti yang tersusun, dan dalam hal ini UMNO mampu menyatupadukan rakyat di negeri ini.
Sementara itu, bercakap kepada media, bekas Ketua Menteri Sabah itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri memperuntukkan RM80 juta bagi menubuhkan Pusat Jantung Negara di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.
“Kita mengalu-alukan pengumuman ini, kerana ia bukan sahaja memudahkan rakyat Sabah malah mengurangkan kos untuk mendapatkan rawatan khusus terutama berkaitan penyakit jantung.
“Dan kita berharap kerajaan persekutuan akan menangani isu dan kekurangan dari segi kemudahan penjagaan kesihatan di negeri ini secara holistik,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri dan perayaan lain termasuk Tahun Baharu Cina dan Pesta Kaamatan, Salleh berkata, ia adalah platform terbaik untuk mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Berita asal: Jesselton Times