Salleh cadang sistem “meritokrasi perwakilan” dilaksanakan untuk urusan pengambilan kakitangan awam Sabah

SSK-DUN.jpg

Gambar fail: DSP Salleh (tengah) bersama Datuk Ewon Benedick dan DSP Yong Teck Lee di DUN Sabah.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengesyorkan agar kerajaan Sabah melaksanakan sistem “meritokrasi perwakilan” bagi menambahbaik urusan pengambilan pegawai awam negeri.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan sistem perwakilan yang adil berdasarkan etnik dalam proses pengambilan penjawat awam.

Mengikut amalan lampau, katanya terdapat persefahaman mengenai sistem pengambilan dan penempatan penjawat awam negeri yang bertujuan mencerminkan perwakilan yang seimbang dan adil di kalangan kumpulan etnik yang pelbagai di negeri ini.

Sebagai contoh, beliau berkata bahawa pada masa lalu, jika Presiden Majlis Bandaraya Kota Kinabalu itu Melayu dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau pula Cina, maka persefahaman yang diterima ialah Presiden Majlis Perbandaran Sandakan sebaiknyq seorang bumiputera bukan Islam (KDM).

Begitu juga, jika seorang Pegawai Daerah itu Muslim, amalan persefahaman yang diterima timbalan atau pembantu haruslah seorang bukan Muslim.

Salleh berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa kadang-kadang persefahaman itu “kita lupa”, dan terdapat juga kecenderungan untuk terus menyalahkan kerajaan Persekutuan dalam hal tertentu berkenaan pelaksanaan MA63 tetapi kerajaan negeri sendiri nampaknya ‘terlepas pandang’ isu perwakilan yang adil yang harus dilaksanakan di peringkat pentadbiran negeri.

Beliau berkata kebelakangan ini, terdapat penurunan dalam bilangan jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam negeri yang dipegang oleh Bumpiutera bukan Islam dan Cina.

Oleh itu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menekankan keperluan untuk menambah pengambilan daripada komuniti tersebut bagi memastikan perwakilan yang lebih seimbang dalam sistem perkhidmatan awam negeri.

Dalam hal ini, Salleh mencadangkan agar perhatian diberikan kepada usaha untuk menyediakan peluang yang sama kepada semua kumpulan etnik di Sabah menjawat jawatan yang lebih tinggi. – Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top