KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menggesa kerajaan persekutuan menyertakan wakil Barisan Nasional negeri dalam majlis yang ditubuhkan untuk melaksanakan tindakan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut FMT, Salleh yang merupakan Adun Usukan dan bendahari UMNO Sabah itu berkata, beliau menyokong cadangan untuk meningkatkan perwakilan Malaysia Timur dalam majlis MA63, tetapi menggesa BN Sabah turut dilibatkan.
“Libat urus kami dalam perbincangan mengenai autonomi dan hak Sabah, sekian lama sebelum penubuhan majlis itu, membuktikan komitmen mendalam BN Sabah terhadap kebajikan Sabah.
“Tempat dalam majlis itu akan memastikan usaha ini diterjemahkan secara langsung kepada dasar yang boleh diambil tindakan, bukan sahaja memberikan manfaat kepada komuniti kita tetapi seluruh wilayah dalam semangat persekutuan sejati,” kata Salleh, yang juga bekas menteri persekutuan kepada FMT semalam.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, draf memorandum penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 sudah siap dan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa teknikal tersebut, namun keputusan akan dimuktamadkan bulan ini, kata Fadillah.