PETALING JAYA: Amanah tidak akan melayan cadangan untuk bergabung dengan PKR, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurutnya, perkara itu tidak berbangkit dan tidak pernah dibincangkan dalam Pakatan Harapan (PH).
“Tak perlu. Tak perlu. Tak berbangkit dan tak pernah dibincangkan dalam Pakatan Harapan.
“Perkara ini tidak pernah berbangkit dan tidak timbul isu itu sebenarnya. Itu hanya suara-suara daripada mereka yang bukan pandangan rasmi parti. Bagi Amanah kita tidak anggap perkara itu berbangkit dan kita dah tubuh Amanah dan jadi sebahagian daripada Pakatan Harapan hingga ke hari ini. Kita akan terus (jadi) rakan dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada FMT.
Semalam Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu media bahawa cadangan menggabungkan dua parti komponen PH, iaitu PKR dan Amanah sudah dikemukakan, namun masih belum dibincangkan.
Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan bila cadangan itu dikemukakan.
Idea penggabungan itu didedahkan kepada umum oleh bekas Ketua Pemuda PKR Selangor Najwan Halimi dalam media sosialnya yang menyatakan kemasukan Amanah ke dalam PKR pasti akan membantu meningkatkan sokongan dan membina keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu di kawasan luar bandar.
“Melalui penggabungan itu, sudah pasti akan wujud jentera yang disatukan untuk kedua-dua parti di peringkat akar umbi, sekali gus menyelesaikan isu peruntukan kerusi yang selama ini menjadi cabaran kepada kedua-dua parti.”
Beliau membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap penganalisis politik Wong Chin Huat yang mencadangkan Amanah dan PKR menjadi parti tunggal. – FMT