Saifuddin nafi pengurusan tertinggi FAM sasaran seterusnya

Saifuddin.jpg

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Gambar fail)

Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menjadi sasaran seterusnya selepas insiden tonggak Harimau Malaya Faisal Halim cedera disimbah asid Ahad lalu.

“Tidak (sasaran seterusnya terhadap pengurusan tertinggi FAM). Saya cuma nak jumpa Faisal,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Madani Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri.

Saifuddin bagaimanapun tidak memberitahu secara terperinci bila pertemuan dengan pemain Selangor FC itu akan diadakan.

Sebelum ini, seorang individu menerusi akaun Instagramnya mendakwa selain pemain bola sepak kebangsaan, beberapa orang berjawatan dalam FAM bakal menerima nasib sama.

Individu terbabit bagaimanapun tidak memberitahu motif serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan dan pengurusan FAM.

Terdahulu, media melaporkan polis mengenal pasti pemilik akaun media sosial menggunakan nama ‘Muhammad Imran Suresh’ yang mendakwa memiliki maklumat berhubung kes Faisal yang disimbah asid sehingga mengalami kecederaan lecur tahap empat.

Sementara itu, Saifuddin dalam laman Facebooknya berkata beliau bersimpati atas kejadian menimpa Faisal dan memohon orang ramai bersama mendoakan pemain sensasi pasukan kebangsaan sembuh dan kembali semula menyarung jersi Harimau Malaya.

“Buat keluarga Faisal Halim, semoga kuat dan tabah dalam menghadapi ujian ini. Saya yakin polis sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden ini. Sama-sama kita berikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak PDRM,” katanya.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Insiden itu merupakan kejadian kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Akhyar Rashid, cedera di kepala dan kaki selepas diserang dan disamun dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top