Saifuddin Hormati Keputusan Ahli

saifuddin-n.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Calon timbalan presiden PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengangkat “bendera putih” walaupun pencabarnya bagi jawatan itu, Rafizi Ramli belum diumum sebagai pemenang secara rasmi.

“Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Chang Li Kang dan lain-lain pemenang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan anggota parti dan berharap agar soal menang atau kalah tidak akan menggugat perpaduan serta silaturahim dalam PKR.

“Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturahim.

“Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-Allah, keadilan akan terus kuat,” katanya.

Saifuddin berkata, tumpuannya kini adalah untuk memastikan kongres nasional parti pada Jun ini berjalan lancar, di mana keputusan pemilihan akan diumumkan secara rasmi.

Beliau yang juga penyandang setiausaha agung PKR berkata, sekitar 3,000 perwakilan akan memilih 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat bagi membentuk barisan kepimpinan yang lengkap.

“Selesai proses ini Anwar Ibrahim selaku presiden akan mempunyai satu barisan kepimpinan yang lengkap. Tugas saya bernoktah di situ. Tugas seterusnya, kepimpinan baharu mempersiap parti mendepani PRU15,” katanya.

Keputusan untuk semua negeri dan Wilayah Persekutuan telah diumumkan kecuali Sarawak dan setakat ini, Rafizi memperoleh 67,895 undi berbanding Saifuddin 48,797 undi.

Rafizi menguasai undi majoriti di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Sabah, Johor, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan.

Manakala Saifuddin hanya menang di Sabah dan Perlis.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi itu, Rafizi hampir pasti akan mengisi jawatan nombor dua dalam PKR pada pemilihan kali ini. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top