KOTA KINABALU: Parti Progresif Sabah (SAPP), yang selama ini dikenali sebagai pengkritik lantang kerajaan persekutuan terdahulu mengenai isu hak Sabah, kini menjadi anggota Perikatan Nasional (PN).
SAPP dalam satu kenyataan hari ini mengatakan bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi ke-196 mengucapkan terima kasih kepada PN kerana menerima parti itu bergabung.
“Majlis Tertinggi dalam mesyuaratnya pada 9 Ogos telah memutuskan sebulat suara untuk bergabung dengan PN,” katanya.
“Ini kerana SAPP dapat melihat bagaimana kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tenang dan berkesan telah mengembalikan keharmonian dan kedaulatan undang-undang dalam pentadbiran Malaysia.
“SAPP percaya bahawa PN dapat menyelamatkan Sabah dan Malaysia dari tuntutan Filipina / Sulu ke atas Sabah.
“Kepercayaan ini terbentuk bahkan sebelum timbulnya masalah politik terbaharu oleh ahli politik Filipina dengan memasukkan peta Sabah di pasport Filipina.
“SAPP juga menyedari dasar eksplisit kerajaan persekutuan PN untuk memerangi masalah pendatang tanpa izin, terutama di Sabah.”
Kenyataan itu ditandatangani oleh presidennya Datuk Yong Teck Lee dan timbalan presiden Edward Dagul, Datuk Richard Yong We Kong dan Japiril Suhaimin.
Selain itu, SAPP juga merasa yakin sebarang persoalan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diatasi, seperti yang dinyatakan oleh Muhyiddin pada bulan Mac ketika mengumumkan Kabinet Persekutuan yang baharu.
“Ketika Kabinet dibentuk, perdana menteri meletakkan kepercayaan kepada menteri yang berasal dari Sabah untuk bertanggungjawab terhadap MA63. Ini adalah langkah praktikal yang penting untuk Sabah, ”kata SAPP.
“Setelah 12 tahun sebagai parti pembangkang di peringkat nasional dan negeri, esok akan menjadi permulaan baharu bagi SAPP dan anggota setia yang telah berjuang tanpa mengenal penat lelah untuk hak-hak Sabah di Malaysia.
“Menjadi anggota PN memberi SAPP rasa bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan parti politik lain di bawah pimpinan perdana menteri untuk mewujudkan masyarakat yang lebih progresif.”
Muhyiddin dijangka melancarkan PN di sini esok, menjelang pilihan raya negeri pada 26 September.