BELURAN: Bekas penyandang kerusi Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee yang tidak dinamakan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hadir di lokasi penamaan calon di Dewan Masyarakat Beluran, pagi Sabtu.
Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu itu tiba kira-kira jam 8.45 pagi dengan memakai kemeja formal.
Kehadiran Ronald itu akan menyaksikan pertandingan lima penjuru di Parlimen Beluran melibatkan Calon WARISAN Rowiena Rashid; Benedict Asmat (BN), Felix Joseph Saang (PH) dan Hausing Samsudin Pejuang.
Dalam masa sama penyokong beliau turut hadir di luar dewan dengan memakai baju Perikatan Nasional (PN).
Ronald ketika ditemui media berkata, beliau memilih untuk bertanding atas tiket PN kerana ia platform terbaik mengangkat aspirasi Beluran ke peringkat nasional.
Menurutnya, parti itu juga ada di negeri dan pastinya kelak memudahkan urusan penyampaian demi pembangunan daerah berkenaan.
“Saya akan bertanding atas tiket perikatan nasional. Parti yang dianggotai beberapa buah parti di peringkat nasional dan juga peringkat negeri.
“Platform ini merupakan satu platform yang terbaik bagi mengangkat aspirasi Beluran di peringkat nasional, ” katanya dalam sidang media di Pusat Penamaan Calon Dewan Masyarakat Beluran, pada Sabtu.
Ditanya mengenai komen Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pencalonannya dengan tiket PN, ronald berkata ia harus ditanya kepada Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya, setakat ini juga dia masih anggota GRS.
Kerusi Parlimen Beluran menjadi kerusi tumpuan dan panas apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menamakan Ronald sebaliknya menyerahkan kerusi parlimen itu kepada rakan kerjasama BN.
Pada PRU14, Ronald menang dengan majoriti undi 7.115 menewaskan calon Warisan, Harapan Rakyat, Parti Cinta Sabah, PPRS dan calon Bebas.
Parlimen Beluran mempunyai 44,727 pengundi berdaftar. – AWANI