KOTA KINABALU: Sukan Sabah (SAGA) X 2023 Kota Kinabalu telah melabuhkan tirainya pada 21 Disember lalu dan Kontinjen Kota Kinabalu dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan.
Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Junainah Abbie berkata, pada edisi penganjuran kali ini, Kontinjen Kota Kinabalu berjaya merangkul pingat 32 Emas, 25 Perak dan 30 Gangsa.
Menurutnya, berikutan kejayaan itu, Mayor DBKK Datuk Noorliza Awang Alip meluluskan sejumlah RM 25,000 sebagai pengiktirafan dan insentif atas kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang temasya berlangsung.
“Sebanyak 22 jenis sukan telah dipertandingkan sejak ia bermula pada 14hb Disember 2023 dan Kontinjen Kota Kinabalu telah menghantar seramai 481 peserta termasuk atlet, jurulatih, pengurus dan urus setia.
“Insentif ini diharap dapat menyuntik semangat moral kepada para atlet untuk terus mengharumkan nama baik Kota Kinabalu dan Sabah melalui sukan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, semakin ramai anak muda akan mengikut jejak langkah kejayaan yang sama dan menempa kejayaan di peringkat lebih tinggi.
Sumber: Utusan Borneo