Safa Tuaran Julang Piala Ketua Menteri

safa-tuaran.jpg

Pemain dan pegawai pasukan Safa Tuaran meraikan kemenangan Piala Sabah 2022 bersama Shahelmey, Juil dan Nizam di Stadium Likas pada Ahad.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pasukan Bola Sepak Sabah (Safa) Tuaran muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di Stadium Likas, di sini, pada Ahad, selepas berjaya menewaskan pasukan Safa Tawau 1-0.

Jaringan gol tunggal bekas penyerang negeri dan kebangsaan Rozaimie Abd Rahman itu melayakkan Safa Tuaran membawa menerima RM30,000 dan membawa pulang Piala Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Naib Johan Safa Tawau pula  menerima RM20,000.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya, yang mewakili Ketua Menteri.

Perlawanan akhir Kejohanan Piala Sabah itu menyaksikan persaingan lapan pasukan yang memenangi zon kelayakan masing-masing.

Presiden Safa Tuaran, Datuk Kassim Razali melahirkan rasa bangga dengan pencapaian pasukannya yang menampilkan bekas pemain pasukan Rhinos Sabah seperti Mafry Balang, Zuraindey Jumai, Jufrey Omopor, Ronny Harun dan Julamri Muhammad.

“Sebagai presiden Safa Tuaran, saya amat berbangga kerana kami berjaya memenangi kejohanan ini buat kali pertama.

“Ia adalah permainan yang menghiburkan para peminat bola sepak kerana mereka bermain dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah.

Sementara itu Presiden Safa Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Safa Tawau menampilkan bakat baharu tempatan iaitu skuad remaja dan berdepan dengan pemain skuad kebangsaan negeri dalan perlawanan akhir ini.

“Saya amat berbangga skuad remaja itu tidak seharusnya berkecil hati selepas kekalahan itu terutama ketika menentang pasukan yang diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain bola sepak negeri.

“Kami sebenarnya tidak bernasib baik tetapi pemain kami telah memberikan yang terbaik…kami akan terus bergerak ke hadapan bersama pemain-pemain muda kami,” kata Nizam.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Juil Nuatim memuji usaha Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang diketuai oleh Azman Mastar kerana menjalankan tugas dengan baik dalam penganjuran kejohanan tersebut.

Menurut Juil, FA negeri akan terus mengadakan lebih banyak kejohanan sebagai sebahagian daripada usaha mencungkil bakat baharu sekali gus menyumbang kepada pembangunan bola sepak Sabah.

“Safa sebelum ini pernah mengadakan kejohanan Piala BMR (bawah 18 tahun) dan kini Piala Sabah, serta dalam rancangan menganjurkan dua lagi kejohanan iaitu Inter-Club dan juga Liga Safa,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top