SAFA Tekad Kembalikan Kegemilangan Bola Sepak Wanita Sabah

bung-bola.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bertekad untuk mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak wanita negeri yang pernah mengharumkan nama Sabah satu ketika dulu.

Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata mereka pernah melahirkan bintang bola sepak wanita yang bukan saja menyinar di peringkat negeri, malah turut mencipta nama di arena kebangsaan.

“Sabah pernah mencatat rekod menjuarai kejohanan bola sepak wanita sebanyak 14 kali dalam kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah. Malah ada pemain kita dipilih mewakili negara dan menjadi ketua pasukan kebangsaan.

“Sebab itu kita mahu mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak wanita negeri kerana saya percaya ia mampu mengulangi pencapaian sebelum ini,” katanya pada majlis penyerahan sijil pelantikan pegawai dan pemain pasukan bola sepak wanita Sabah, di sini, pada Isnin.

Yang turut hadir ialah Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin; Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Agung SAFA, Benedict Asmat dan Pengurus Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah, Datuk Jelani Hamdan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata Sabah memiliki ramai bakat bola sepak wanita, malah sesi pemilihan pemain pasukan negeri yang diadakan baru-baru ini menyaksikan seramai 80 wanita hadir mempamerkan kebolehan masing-masing.

“Ia memberi gambaran bahawa sukan bola sepak wanita masih mendapat perhatian dalam kalangan wanita di negeri ini, khususnya mereka yang minat bermain bola sepak.

“Bagaimanapun, kita hanya memilih mereka yang benar-benar layak dan berkeupayaaan untuk mewakili pasukan Sabah dalam kejohanan bola sepak wanita kali ini,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar berkata lebih banyak program pencarian bakat baharu akan dilaksanakan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang berkebolehan termasuk melalui kejohanan bola sepak merebut piala disediakannya.

Sementara itu, Jelani berkata pihaknya menetapkan sasaran untuk membawa pasukan bola sepak wanita Sabah mencipta kejayaan dalam setiap perlawanan yang dihadapi pasukan berkenaan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top