TAWAU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tawau akan meneruskan semula liga bola sepak tahunan yang tertangguh selama tiga tahun susulan pandemik COVID-19 dengan menggunapakai format piala dunia.
Presiden SAFA Tawau Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, liga bola sepak yang akan dianjurkan semula itu adalah Piala Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Piala F.A dan Piala Sumbangsih.
Katanya, penggunaan format piala dunia yang diadakan di Qatar pada tahun ini adalah antara usaha melahirkan pemain bola sepak bertaraf dunia.
“Mudah-mudahan dengan liga bola sepak yang bakal diadakan semula tahun ini dapat merancakkan lagi sukan bola sepak khususnya di daerah Tawau,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan SAFA Tawau di sini, semalam.
Menurutnya, ketika ini sebanyak 26 pasukan dan kelab telah mengesahkan penyertaan pertandingan dalam liga Piala Sumbangsih pada 3 Disember ini.
“Kita sasarkan sebanyak 32 pasukan atau kelab mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dan tarikh tutup penyertaan pada 30 November ini.
“Saya mengalu-alukan semua pasukan yang berdaftar dengan SAFA Tawau supaya mengambil peluang untuk menyertai pertandingan tersebut,” katanya.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, SAFA Tawau turut mengambil inisiatif menaikkan kadar bayaran bagi pengadil berkuatkuasa Januari 2023.
“Ia dibuat bagi meningkatkan lagi taraf kualiti pertandingan bola sepak dengan pengadil-pengadil yang mempunyai kualiti dan mampu memastikan setiap perlawanan berjalan lancar,” katanya.- Utusan Borneo