SAFA Setiap Daerah Perlu Susun Jadual Kejohanan Lebih Awal

mokran-bola.jpg

Mokran (duduk, tengah) bergambar bersama jawatankuasa pengelola kejohanan diketuai pengerusinya Amri Andimas (duduk, tiga kiri) dan Pengurus Kompleks Sukan Sandakan Junaidi Salleh (duduk, dua kanan).

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Mokran Ingkat meminta SAFA setiap daerah menyusun jadual kejohanan bola sepak lebih awal dalam usaha mencari bakat-bakat baharu diketengahkan ke peringkat negeri.

Mokran yang juga Timbalan Presiden SAFA Sandakan berkata, ini bertujuan melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti, dengan mutu permainan yang tinggi dan berdisiplin.

“SAFA perlu menyusun program setahun bola sepak dengan jadual pertandingan tujuh sebelah, sembilan sebelah dan sebelah sebelah bagi mencari bakat-bakat muda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah 2022 Zon Pantai Timur Utara di Padang Sintetik Kompleks Sukan Sandakan melibatkan Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Libaran.

Mokran berkata, mana-mana pasukan yang menyertai pertandingan perlu dimaklumkan lebih awal untuk memastikan pasukan itu menyediakan pemain yang bermutu dan berkualiti bagi menyertai pertandingan itu.

“Persiapan setiap pasukan juga lebih rapi dan dapat memilih pemain yang terbaik dari segi fizikal, kecergasan dan mempunyai ‘skill’ untuk diketengahkan dalam kejohanan sekaligus mampu mewakili pasukan Sandakan pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai kejohanan kali ini, Mokran berkata ini adalah satu usaha melahirkan pemain bola sepak berkualiti di peringkat akar umbi untuk bermain bagi negeri Sabah.

“Ambil contoh bagi empat kawasan ini (Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Libaran) pada zaman kegemilangan bola sepak suatu ketika dahulu melahirkan pemain yang mewakili negeri Sabah seperti Allahyarham Awang Amit, Roslan Majid, Awang Damit, Jalit, Alman, Azman Mastar dan lain-lain pemain lagi,” katanya.

Beliau menaruh keyakinan akan lebih banyak lagi pemain di kawasan ini dilahirkan untuk bermain di peringkat negeri Sabah.

Mokran juga turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden SAFA Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mencetuskan ihlam kejohanan ini dan disokong oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Kita percaya sekiranya kejohanan atau pertandingan seperti ini diteruskan akan melahirkan lebih ramai pemain yang terbaik mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan dan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Mokran turut mengadakan perbincangan dengan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Benedict Asmat bagi mencari dan mengenal pasti kawasan taman-taman permainan bagi dinaiktaraf dijadikan padang bola sepak percuma untuk kegunaan para belia bermain bola sepak.

“Kita di Sandakan masih kekurangan prasarana bola sepak, sekiranya ini dapat dilaksanakan sudah pasti belia di Sandakan akan dapat bermain bola sepak untuk kesihatan dan sebagai titik permulaan melahirkan banyak pemain.

“Kita tahu ada kemudahan padang bola sepak sedia ada di Kompleks Sukan Sandakan tetapi para belia terpaksa mengeluarkan kos bagi membayar untuk menggunakan kemudahan padang,” katanya.

 

Berita asal: Sabah360online

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top