SAFA, MSN Jalin Kerjasama Bangunkan Bola Sepak Sabah

SAFA-MoU-MSN.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.

Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, antara tujuan MoU berkenaan adalah memajukan sukan bola sepak di negeri ini dengan melaksanakan beberapa program untuk mencungkil bakat baharu yang ada di Sabah.

Katanya, kerjasama SAFA dan MSN ini akan bersama-sama melaksanakan program pencarian bakat baru di seluruh pelusuk Sabah.

“Ini adalah koloborasi pertama yang dimeterai antara MSN dan persatuan bola sepak di negara ini. Menerusi kerjasama MSN ini akan ada bantuan dari segi dana, termasuk tenaga mahir dalam usaha membangunkan bola sepak di Sabah.

“Saya berharap, kerjasama ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin terutamanya di daerah luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU berkenaan, di sini, pada Khamis.

Pada majlis itu, SAFA diwakili oleh Bung Moktar dan MSN diwakili oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Sukannya Mohd Safrushahar Yusoff.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pembangunan sukan bola sepak di Sabah akan mengikut perancangan yang dirangka menerusi kerjasama ini.

Katanya, bermula daripada peringkat daerah di seluruh Sabah, kerjasama ini juga diharap dapat mencari bakat bukan saja untuk negeri dan negara tetapi juga kepada industri bola sepak dunia.

“Kita akan mencari pemain bermula daripada peringkat remaja untuk digilap dan sudah tentu MSN mempunyai kepakaran untuk mencari bakat baharu yang benar-benar berkualiti,” katanya.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top