KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam mengumumkan pelantikan Benedict Asmat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Dalit, Jasnih Daya sebagai setiausaha agung dan bendahari agung persatuan yang baharu.
Pelantikan Benedict dan Jasnih bagi menggantikan Rafie Robert dan Joehari Ayub yang dilantik ke jawatan itu baru-baru ini.
Bekas pemain negeri, Azman Mastar pula dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung yang baharu.
Bung, yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya berkata, Rafie dan Joehari bagaimanapun akan dilantik sebagai anggota majlis tertinggi (AMT) SAFA.
Katanya, pelantikan AMT yang lain akan dilakukan kemudian.
“Ini merupakan sebahagian langkah segera yang diambil dalam usaha untuk penstrukturan semula pentadbiran badan bola sepak ini.
“Usaha dan pendekatan yang lain kita sedang pertimbangkan bagi membolehkan langkah yang lebih pro-aktif ke arah kemajuan sukan bola sepak di negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan AMT SAFA di Pejabat SAFA di Kompleks Sukan Likas..
Dalam pada itu, beliau berkata, pembentukan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk menghadapi liga musim depan akan dilakukan secepat yang mungkin.
Katanya, ia termasuk penyusunan pengurusan, pemilihan jurulatih dan pemain-pemain bagi kedua skuad itu.
“Kita akan lakukan dengan teliti dan seboleh-bolehnya secepat mungkin supaya pasukan tersebut dapat melakukan persiapan yang rapi untuk bertanding,” katanya.
Mengikut ketetapan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia bagi musim 2021 dijadualkan berlangsung pada Jun tahun depan.
Bung berkata, penstrukturan semula dalam SAFA itu akan turut diperluaskan di peringkat daerah.
Tambahnya, diharap usaha itu berjalan lancar dan mampu membawa perubahan kepada sukan bola sepak bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di seluruh daerah.-Borneo Today