SAFA Anjur Kejohanan Bola Sepak Antara Kelab Selepas Piala Sabah

bung-safa.jpg

Bung (kanan) merakamkan gambar kenangan bersama Azman, David, Shamsuddin dan Lokman sempena kunjungan itu di DUN.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) merancang untuk menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Antara Kelab tahun ini selepas penganjuran Piala Sabah 2022 merebut piala sumbangan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor.

Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Moktar Radin, berkata kejohanan itu dalam pelan perancangan badan bola sepak negeri selepas ini.

Katanya, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA sedang dalam proses untuk menganjurkan kejohanan tersebut yang besar kemungkinan pada Julai sekiranya tidak ada sebarang rintangan dan kekangan.

“Pada saya, kejohanan ini sangat baik untuk memberi peluang kepada pasukan yang bertaraf kelab dari seluruh negeri,” katanya selepas diberi taklimat jawatankuasa berkenaan berhubung penganjuran Piala Sabah 2022 yang sedang berjalan sekarang.

Bagaimanapun, tambahnya, perancangan bagi menganjurkan kejohanan itu akan diperincikan dan akan dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi SAFA sebelum dimuktamadkan.

Taklimat ringkas itu disampaikan Pengerusi jawatankuasa itu, Azman Mastar yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA ketika mereka mengadakan kunjungan hormat kepada Bung Moktar di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri di sini, pagi semalam.

Hadir sama ialah timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan, Lokman Sunggim, Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Shamsuddin Mohd Shah dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Bung Moktar yang Timbalan Ketua Menteri, berkata selain kejohanan antara kelab, SAFA juga akan menganjurkan Kejohanan Piala SAFA kemudian.

Katanya, memang menjadi hasrat dan perancangan SAFA untuk memperbanyakkan kejohanan bola sepak yang membabitkan seluruh daerah kerana ia sebagai langkah untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini.

“Ia juga selari dengan usaha kita untuk menstruktur semula badan bola sepak negeri agar ia dapat bergerak aktif dan membuat perancangan strategik memacu kemajuan bola sepak yang sangat diharapkan peminat sukan ini,” ujarnya.

Mengenai penganjuran Piala Sabah 2022 yang sedang berjalan ketika ini, Presiden SAFA itu mengucapkan syabas kepada jawatankuasa itu kerana usaha untuk mengendalikan kejohanan yang berprestij itu.

Sementara itu, Azman berkata, jawatankuasa yang diketuainya itu akan terus melaksanakan penganjuran sukan itu selaras dengan hala tuju Presiden SAFA untuk melakukan transformasi terhadap program dan aktiviti bola sepak di Sabah.

Perlawanan hari pertama grand final Piala Sabah kelmarin menyaksikan pasukan Tuaran menang tipis kepada pasukan Putatan 1-0 dan Pitas seri 1-1 dengan Membakut dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B, Keningau menewaskan Libaran 3-0 dan Tawau mengalahkan Telupid 3-1.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top