PETALING JAYA: Bekas Menteri Kabinet Tan Sri Sabbaruddin Chik, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), malam ini.
Pegawai khasnya, Zamri Mohamad berkata, Sabbaruddin, 80, sebelum ini dimasukkan ke PPUM, sejak seminggu lalu bagi menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
“Betul, Tan Sri (Sabbaruddin) baru saja meninggal dunia kira-kira jam 8 lebih tadi. Belum pasti akan dikebumikan di mana.
“Kami pun sudah memaklumkan berita itu kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri) yang kini berada di Sarawak,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, segala urusan jenazah termasuk pengebumiannya dijangka akan dibuat sepenuhnya oleh pihak hospital.
Ismail sebelum ini pernah menyifatkan Sabbaruddin Chik sebagai sifu dan mentor politik yang tidak mampu dibalas jasanya.
Sabbaruddin pernah memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dari 1987 hingga 1999, selain menjadi Setiausaha Agung Umno, pada 1990.
Beliau turut menyandang kawasan Parlimen Temerloh selama empat penggal, dari 1982 hingga 1999.