KOTA KINABALU: Pendirian Malaysia tidak mengiktiraf arahan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa untuk membayar RM62.5 bilion kepada waris Sultan Sulu adalah penegasan bahawa tuntutan ke atas Sabah tidak lagi timbul.
Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Edward Linggu Bukut berkata pendirian Malaysia itu juga menunjukkan tiada lagi asas menimbulkan isu tuntutan tersebut,
“Bukti-bukti dokumen perundangan dan sejarah menunjukkan Sabah bebas dari sebarang tuntutan mana-mana pihak dan merupakan wilayah Malaysia yang berdaulat,” kata Linggu.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee.
Linggu menyatakan sokongan tersebut ketika merasmikan majlis penerimaan ahli-ahli baharu dan pembentukan Jawatankuasa Penyelaras STAR Kawasan Kg Tinuhan Tenghilan.
Terdahulu, isu tuntutan ke atas Sabah turut disentuh dalam satu perjumpaan singkat Linggu dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah di Johor.
Dalam kenyataannya, Yong menegaskan bahawa selepas kemangkatan Sultan Sulu terakhir tanpa waris lelaki pada 1930-an, Filipina telah mengisytiharkan bahawa kesultanan itu telah berakhir.
Dalam kenyataan bersama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara menyebutkan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam timbang tara yang membuat arahan tersebut yang dikatakan dibuat di Paris, Perancis.
Kenyataan tersebut juga menjelaskan bahawa perkara tuntutan itu bukan bersifat komersial dan oleh itu tidak boleh tertakluk kepada timbang tara dan perjanjian 1878 tidak mengandungi perjanjian timbang tara.
Seterusnya kenyataan bersama itu menambah, identiti pihak yang menuntut juga diragui dan masih belum disahkan.
Sementara itu, Linggu yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menyokong penuh langkah SAPP membawa usul Kad Pengenalan Sabah ke Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bulan ini.
Menurut Linggu, Kad Pengenalan Sabah merupakan sebahagian daripada manifesto STAR yang perlu direalisasikan bagi menentukan ketulenan rakyat Sabah.