Sabah Wajibkan Calon Memasuki Perkhidmatan Awam Negeri Lepasi Tahap Kesihatan, Lengkap Vaksinasi

perkhidmatan-awam.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan mewajibkan setiap calon yang memasuki perkhidmatan awam negeri perlu melepasi tahap kesihatan diri serta telah menerima dos vaksin yang lengkap.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Rosmadi Datu Sulai (gambar, tengah) berkata, ia merupakan syarat kepada pengambilan kakitangan awam yang baharu ke dalam perkhidmatan awam negeri.

“Adalah ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menetapkan syarat pengambilan kakitangan awam yang baharu ke dalam perkhidmatan awam negeri dengan mewajibkan setiap calon untuk melepasi tahap penilaian kesihatan diri serta telah menerima dos vaksin yang lengkap.

“Langkah ini selari dengan usaha Kerajaan bagi meningkatkan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan orang awam untuk berurusan di bangunan kerajaan sekaligus mengembalikan perkhidmatan awam ke kapasiti maksimum berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Wisma Wanita disini pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Sabah Datuk Masnah Mat Sallleh.

Rosmadi berkata, sehingga 10 Oktober lalu, seramai 12,709 penjawat awam negeri telah berjaya menerima vaksin di PPV Wisma Wanita yang melibatkan seramai 6,757 penerima dos pertama, manakala penerima dos lengkap seramai 5,455 orang.

Katanya, jumlah keseluruhan yang terkumpul berdasarkan rekod di dalam Sistem Maklumat Sumber Manusia (SM2) adalah seramai 19,571 orang penerima melibatkan 97 peratus penjawat awam yang berkhidmat di seluruh Sabah.

“Jumlah pemberian vaksinasi ini merupakan hasil pengorbanan semua yang telah menjadi penyumbang dalam mencapai lebih 92 peratus kadar pemberian vaksinasi kepada golongan dewasa yang berumur lebih 18 tahun di daerah Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmadi berkata, Wisma Wanita telah dipilih oleh CITP Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai pusat perintis bagi Program Vaksinasi yang bertanggungjawab ke atas pemberian vaksin kepada semua penjawat awam.

Katanya, PPV Wisma Wanita telah mula beroperasi sepenuhnya pada 13 Jun lalu yang memberi manfaat kepada 20,174 orang penjawat awam negeri dan 100,172 penjawat awam dari Kerajaan Persekutuan.

“Pada peringkat awal pengoperasian, PPV ini menjadi pusat pemberian vaksin untuk semua penjawat awam yang bertugas di lapangan, kemudian dibuka kepada semua penjawat awam yang berkhidmat di sekitar Kota Kinabalu.

“Pendaftaran dibuat melalui senarai edaran nama yang telah diberikan oleh Ketua Jabatan masing-masing termasuklah pendaftaran secara atas talian iaitu melalui aplikasi MySejahtera.

“Seramai 425 warga penjawat awam negeri dan persekutuan dari 10 agensi berbeza telah menawarkan diri menjadi petugas di PPV Wisma Wanita ini sama ada secara sepenuh masa, separuh masa ataupun sambilan,” katanya.

Katanya, selain itu, jururawat dan pakar perubatan yang telah bersara juga tampil untuk menjadi petugas secara sukarela.

“Pengorbanan masa dan tenaga semua pihak terlibat sangat membanggakan dan tentunya memberikan sumbangan besar dalam mempercepatkan kadar vaksinasi di Malaysia khususnya di negeri Sabah,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top