Sabah wajibkan agensi kerajaan, GLC ambil anak miskin tegar bekerja

hajiji-kuamut-2.jpg

Hajiji menerima cenderamata baju "Tatap Kalaga" daripada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah selepas melancarkan Parti Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut dan Perasmian Mesyuarat Tahunan 2023 Bahagian Kuamut di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod pada Sabtu. (Kredit foto: Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah)

Kongsi Bersama

TONGOD: Kerajaan Sabah mewajibkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta pelabur luar yang datang ke negeri ini supaya mengutamakan golongan miskin tegar dalam senarai e-kasih bagi pengisian jawatan kerani dan ke bawah.

BHarian dalam laporannya hari ini memetik Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM175 juta sebagai sokongan kepada agensi kerajaan, GLC dan syarikat pelabur untuk melaksanakan pendekatan itu.

Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM300 juta yang disediakan kerajaan negeri dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di Sabah pada tahun ini.

Beliau berkata, pendekatan itu adalah antara usaha kerajaan negeri memastikan rakyat negeri ini dibantu bagi membolehkan mereka menikmati hidup yang sempurna.

“Kerana itu tahun ini kita setuju untuk bantu rakyat termiskin dalam senarai e-kasih kerana kita mahu mengurangkan bilangan mereka yang berada dalam kategori miskin tegar.

“Kerajaan negeri meluluskan RM300 juta khusus untuk mereka dalam senarai miskin tegar ini. Daripada RM300 juta ini, kita bina 1,300 rumah percuma Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) membabitkan peruntukan RM125 juta.

“Bakinya, RM175 juta diguna membantu anak miskin tegar mendapat pekerjaan di agensi kerajaan, GLC dan syarikat yang melabur di Sabah. Kita buat keputusan wajibkan pengambilan jawatan kerani ke bawah daripada golongan miskin tegar ini,” katanya pada pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, di sini, semalam.

Katanya, kerjasama dan sokongan semua pihak perlu bagi mengatasi masalah kemiskinan di Sabah dan memastikan negeri ini dikeluarkan daripada senarai negeri paling miskin.

“Kalau kita dapat bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain, saya yakin Sabah yang ketika ini duduk di bawah, Insya-Allah dalam masa tiga ke lima tahun akan datang akan berada di tangga ketiga atau empat seluruh negara,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya sudah membuktikan kemampuannya membawa perubahan di negeri ini berdasarkan peningkatan nilai perdagangan yang mencapai RM118 bilion pada tahun lalu, berbanding RM80 bilion pada tahun sebelumnya.

Sabah ketika ini disenarai sebagai negeri paling ramai golongan miskin dengan tiga daerahnya iaitu Tongod, Pitas dan Kota Marudu dikenal pasti sebagai daerah termiskin di negara ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top