KOTA KINABALU: Sabah perlu mempunyai industri hiliran untuk mengeluarkan produk sendiri hasil daripada kekayaan sumber alam di negeri ini.
Presiden Parti WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, bahan mentah seperti kayu balak serta pasir silika harus diproses dalam negeri ini agar industri hiliran dapat memberikan manfaat kepada rakyat serta negara.
“Saya berharap kerajaan Pusat boleh mengambil tindakan yang tegas secepat mungkin mengenai ketirisan yang berlaku khususnya berkaitan dengan pengeksportan sumber bumi.
“Sekiranya lambat, kita tidak tahu berapa ratusan juta hasil diperolehi…yang sepatutnya dinikmati rakyat dan negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan dan Penyampaian Sumbangan kepada Golongan Asnaf di Pulau Gaya di sini, semalam.
Shafie berkata, beliau juga telah memaklumkan di sidang Parlimen bahawa Sabah perlu mempunyai industri hilirannya sendiri.
Katanya, Semenanjung Malaysia sudah mempunyai industri berkenaan dan sudah tiba masanya Sabah turut mempunyai sektor hiliran yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Kita tidak mahu bahan mentah yang dieksport keluar itu, hasilnya tidak dinikmati rakyat.
“Kini, hampir keseluruhan rakyat Sabah mengeluh mengenai masalah kehidupan…harga barangan naik, isu peluang pekerjaan, kesihatan dan pendidikan.
“Rakyat kini terdesak memerlukan bantuan sewajarnya dan berhak mempunyai sebuah kerajaan yang lebih baik,” katanya.
Mantan Ketua Menteri itu berkata, kilang minyak masak contohnya, industri hiliran yang diwujudkan Kerajaan WARISAN itu telah memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Katanya, usaha itu juga mampu mengelakkan golongan belia daripada berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk mencari pekerjaan. – Utusan Borneo