Sabah Umum SOP Aidiladha

Aidiladha-Korban-Bernama-672x420-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan membenarkan solat sunat Aidiladha dan pelaksanaan ibadat korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bagi solat sunat Aidiladha, kerajaan negeri membenarkan pelaksanaan di masjid dan surau dengan jumlah satu pertiga daripada keluasan dewan utama solat atau 50 jemaah atau lebih rendah dengan syarat tertentu.

“Antara syarat utama ialah harus lengkap mengambil dua dos vaksin serta syarat lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Namun keputusan ini tertakluk kepada situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Mengenai garis panduan ibadat korban ketika PKP, Masidi berkata, ia dibenarkan kecuali kawasan diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain itu, antara lokasi penyembelihan yang dibenarkan ialah rumah sembelihan, rumah penyembelihan ruminan swasta yang berlesen, masjid dan surau dengan kelulusan pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta Pejabat Kesihatan.

“Kawasan lapang seperti balai raya atau dewan yang bersesuaian dengan kebenaran PBT, JPV, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pejabat Kesihatan Daerah juga dibenarkan.

“Permohonan di lokasi lain selain masjid atau surau perlu dibuat kepada JPV lebih awal,” katanya.

Masidi berkata, jumlah haiwan yang disembelih di masjid atau surau tidak lebih daripada lima ekor sehari kecuali kambing sebanyak 10 ekor.

“Pengecualian bilangan haiwan ini diberikan sekiranya diproses di rumah penyembelihan yang dibenarkan.

“Jumlah petugas yang dibenarkan tidak melebihi 20 orang sehari dengan syarat haruslah sihat tubuh badan dan lengkap menerima dua dos vaksin.

“Jamuan untuk petugas hanya dibenarkan secara dibungkus saja di mana aktiviti memasak di kawasan penyembelihan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Masidi berkata, agihan daging korban tidak dibenarkan di masjid atau surau sebaliknya dibuat oleh pihak berkaitan melalui cara penghantaran ke rumah masing-masing. – HMetro


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top