KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan penyelarasan dan koordinasi pelaksanaan projek persekutuan dapat dibuat dengan lebih teratur dan cepat.
Katanya, keputusan bagi mewujudkan Jawatankuasa Khas Pewujudan Projek Persekutuan Sabah itu dibuat selepas mesyuarat majlis tindakan pembangunan negeri yang pertama tahun ini di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, pada Selasa.
“Mesyuarat bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas ini yang dilihat amat baik bagi menangani atau mengurangkan kelewatan projek disiapkan di negeri ini.
“Ini kerana, projek ‘sakit’ atau tamat tempoh adalah sesuatu yang amat merugikan rakyat di kawasan yang terbabit dan saya berharap jawatankuasa ini nanti akan dapat mengenal pasti isu atau perkara yang menjadi halangan pada peringkat awal, sekali gus dapat diselesaikan.
“Jawatankuasa ini nanti juga akan diperhalusi dan diperincikan agar benar-benar berkesan serta mencapai objektif penubuhannya,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor; Pengarah Pembangunan Negeri Sabah, Noor Alam Khan A Wahid Khan dan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Alan Abdul Rahim.
Mesyuarat secara maya itu turut disertai ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam, barisan menteri kabinet serta pegawai kanan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Hajiji yang juga menteri kewangan berkata, semua jabatan atau agensi yang terbabit juga perlu mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan dan menyiapkan semua projek yang lewat seperti pembinaan sekolah, hospital dan bekalan elektrik serta air luar bandar di negeri ini.
“Saya meminta kerjasama dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dipertingkatkan dalam usaha mempercepatkan perlaksanaan projek atau program kerajaan di Sabah.
“Selain itu, saya juga meminta mana-mana projek yang lewat disiapkan dipercepatkan kerana kelewatan dałam melaksanakan projek yang telah diluluskan hanya merugikan rakyat dan kerajaan selain meningkatkan lagi kos,” katanya.