Sabah Tuan Rumah Sambutan Hari Malaysia 2021

bung.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sambutan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ( SICC) pada malam 16 September depan.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa induk Hari Malaysia secara cara maya yang dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah pada Selasa.

“Bagi pihak kabinet negeri, kami berterima kasih dan menghargai keputusan Kerajaan Pusat atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan untuk Sabah sekali lagi menganjurkan program ini,” katanya ketika ditemui selepas menyertai mesyuarat secara maya itu di Bangunan Umno Sabah di sini.

Menurut Bung yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia di peringkat negeri, bagi memastikan kelancaran perjalanan program itu, beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana di peringkat negeri bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan telah diadakan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya berikutan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara, sambutan akan diadakan dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP).

“Ia akan berlangsung di tempat tertutup dengan penjarakan sosial, dengan kehadiran yang terhad yang dianggarkan sekitar 500 orang. Bagaimanapun ianya bergantung kepada situasi semasa penularan Pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Menyentuh mengenai pengisian program Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pelbagai acara telah siap disusun antaranya, majlis tahlil, persembahan koir, majlis memotong kek Hari Malaysia dan tayangan montaj.

Tambah Bung selaras dengan Tema tahun ini ialah Malaysia Prihatin satu persembahan khas dari Artis-artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah bertemakan “Malaysia Prihatin” turut di persembahkan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dalam menangani Wabak COVID-19.

“Kita berharap sambutan Hari Malaysia bukan sahaja menyuntik semangat patriotik rakyat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda, tetapi juga membentuk solidariti rakyat untuk sama-sama  memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

Untuk rekod, Sabah dan Sarawak menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia secara bergilir-gilir di mana sambutan pada tahun lepas diadakan di Sibu.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top